Thursday, February 17, 2011

PRK : 79 borang pencalonan dijual

Tg Malim , 17 Febuari 2011 - Proses penjualan borang pencalonan Pilihan Raya Kampus (PRK) Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPP UPSI ) bagi tahun 2011/ 2012 mencatat sejarah apabila sejumlah 79 borang pencalonan terjual secara keseluruhan dalam tempoh dua hari.

Penjualan borang agak perlahan pada hari Isnin dan terus meningkat dengan mendadak semalam dengan bilangan yang dicatatkan jauh mengatasi mana-mana rekod penjualan borang sepanjang pilihanraya kampus di UPSI.

Sebagai pecahan , sebanyak 28 borang bagi kerusi umum telah dijual bagi merebut 5 kerusi umum. Bagaimanapun mengikut rekod-rekod pilihanraya kampus yang lepas , bilangan calon yang akan menyerahkan borang pencalonan pada hari penamaan calon pada hari ini akan jauh berkurangan daripada jumlah borang yang dijual.

Sejumlah 45 borang pencalonan fakulti telah dijual bagi mengisi 18 kerusi fakulti dengan setiap fakulti diperuntukkan bilangan dua kerusi. Pada PRK kali ini , jumlah ini bertambah dari 16 kerusi pada PRK tahun lepas kerana penstrukturan baru kursus telah mewujudkan satu fakulti baru menjadikannya 9 fakulti berbanding 8 pada tahun lepas.

Bagi kerusi Etnik pula , 04 borang pencalonan telah dijual dan 02 borang pula dijual kepada pelajar Institut Pengajian Siswazah (IPS).Mengikut analisis yang dibuat oleh SuaraUPSI, pertambahan mendadak penjualan borang-borang pencalonan ini ada kaitan dengan pengguguran syarat mengikuti kursus kepimpinan yang dibuat oleh oleh JHEPA dan dimansuh oleh Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP).

Pihak-pihak yang bertanding juga dilihat mengambil kesempatan dengan sengaja menghantar calon-calon "mee segera" untuk membeli borang pencalonan sebagai taktik untuk mengaburi pihak lawan agar menghadapi kesukaran meneka calon-calon yang telah dipilih untuk PRK kali ini.

No comments: