Monday, January 11, 2010

Dua mahasiswa UPSI maut kemalangan jalan raya

Ahmad Faizol Bin Abdul Sukor

Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin

Tg Malim , 11 Januari - UPSI mencatat rekod pertama kematian mahasiswanya setelah tiga minggu semester 2 sesi 2009/2010 dibuka apabila dua mahasiswa maut dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.30 - 5.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Kuil India dan Yik Mun , mangsa , Ahmad Faizol Bin Abdul Sukor , pelajar semester 8 kursus AT 10 - Pendidikan Khas , beralamat di Kg Aur China , Slow Machang,17000 Pasir Mas, Kelantan maut di tempat kejadian setelah motosikal yang dinaiki mangsa dilanggar sebuah lori ais sehingga menyebabkan mangsa terperosok di bawah kenderaan tersebut.
Pembonceng motosikal itu yang dikenali sebagai Mohd Fadhiri Bin Mohamad Ariffin , pelajar semester 8 , kursus AT-14 Matematik juga terperosok dibawah kenderaan yang sama dan disahkan mengalami patah tangan ,patah kaki,patah tulang belakang dan pendarahan hati apabila dibawa ke Hospital Slim River.
Mangsa yang beralamat di Lot 2902, Lorong Pipit , Taman Adabi , 17500 , Tanah Merah , Kelantan kemudian dikejarkan ke Hospital Teluk Intan setelah disahkan memerlukan pembedahan segera. Bagaimanapun mangsa meninggal dunia di Hospital Teluk Intan kira-kira jam 11 pagi tadi akibat kecederaan teruk yang dialaminya.
Difahamkan kesemua mangsa bersama-sama rakan-rakan yang lain baru tiba ke Tg Malim dari kawasan Utara dengan menaiki keretapi dan dijemput oleh beberapa orang rakan yang lain dan tragedi berlaku apabila mangsa tidak memberhentikan motosikal yang dinaikinya dipersimpangan lampu isyarat berkenaan.
Kedua-dua mangsa dikatakan datang ke Tg Malim untuk membantu gerak kerja jentera pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Allahyarham Mohd Fadhiri merupakan bekas calon Pro-Mahasiswa pada pilihanraya kampus yang lepas.
Yang Dipertua Majis Perwakilan Pelajar UPSI, Mohd Hairie B. Abdullah menasihatkan pelajar supaya berhati-hati ketika berada di jalan raya dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pihak SuaraUPSI merakamkan ucapan takziah dari seluruh mahasiswa UPSI dan memohon semua mahasiswa yang beragama Islam agar mendoakan mereka ditempatkan di kalangan orang - orang yang beriman dan terpuji.

1 comment:

syahir Mohamad said...

salam...
"Kedua-dua mangsa yang telah selesai menamatkan latihan praktikum dikatakan datang ke Tg Malim untuk membantu gerak kerja jentera pilihanraya kampus yang bakal berlangsung tidak lama lagi."

fakta ni salah..kata sem 8 tak kan dah hbs pratikum.. hehhe.. kena betulkan..
semoga kedua arwah kecucuri rahmat dan ditempatkan dalam golongan org2 beriman..