Tuesday, January 12, 2010

Salam Takziah dari YDP MPP Pimpinan Bitara



Subuh semalam seluruh warga UPSI telah digembarkan dengan satu berita kemalangan maut yang meragut nyawa saudara Mohd Faizol Bin Abd. Sukor dan Mohd Fadhiri bin Mohd Ariffin. Kedua-duanya merupakan pelajar UPSI yang bergiat aktif dalam kepimpinan di Kolej Ungku Omar. Saya menyifatkan pemergiaan mereka berdua ibarat hilangnya sinaran mutiara yang berkerdipan di UPSI tercinta. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh kalian. Sesungguhnya telah tertulis segala liku-liku hidup kita yang tak mampu kita lawan takdir dari yang Maha Esa. Ini selaras dengan firman Allah s.w.t

Bahawasanya seseorang dari kamu itu dikumpulkan kejadiannya dalam kandungan ibunya 40 hari, masih berujud air mani. Lalu jadilah segumpal darah selama 40 hari juga. Kemudian Allah taala mengutuskan malaikat lalu meniupkan roh di dalam tubuhnya dan diperintahkan dalam empat perkara iaitu menuliskan ketetapan tentang rezekinya, ajalnya, amalannya, dan menjadi orang yang celaka atau bahagia (Al-Mu’minun : 12-14)


Mereka berdua telah dilaporkan terlibat dalam kemalangan di simpang empat berhadapan dengan kedai Pau Yik Mun setelah pulang mengambil Mohd Faizol dari stesen kereta api yang baru sampai dari Kedah. Oleh itu, saya menyeru kepada semua mahasiswa/i UPSI agar lebih berhati-hati ketika berada di jalan raya tambahan pula pada waktu yang gelap dan kabur. Bagi mahasiswa/i yang memandu motosikal mahupun basikal, saya galakan agar memakai pakaian pantulan cahaya terutamanya pada waktu malam yang gelap. Walaupun takdir penentuan kepada ajal seseorang namun kita perlulah mempunyai sikap berwaspada dan berhati-hati tanpa menyalahkan takdir semata-mata sahaja.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan salam takziah kepada kedua-dua keluarga Allahyarham atas pemergian anakanda yang mereka kasihi. Sebagai tanda sahabat yang kekal abadi marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah kepada Allayarham Mohd Faizol Bin Abd. Sukor dan Allahyarham Mohd Fadhiri bin Mohd Ariffin semoga mereka ditempatkan di tempat orang yang soleh dan beriman. InsyaAllah.


Kehidupan kita ibarat satu pengembaraan yang dimulai dengan alam roh dan diakhiri dengan alam akhirat. Pertemuan kita hanya sementara di alam syahadah yang bersifat sementara malah alam akhirat merupakan alam yang hakiki yang kita akan temui kembali setelah berpisah antara roh dan badan. Bagi mereka berdua, sudah tersurat bahawa usia, mereka hanya sekadar di sini sahaja. Sebagai yang masih hidup, kita perlu meneruskan kehidupan dengan tidak melupakan yang telah pergi buat selama-lamanya sebagai tanda sayang dan kasih kita pada sahabat.

No comments: