Thursday, August 13, 2009

Peniaga bersyukur tiada bantahan

Tg Malim, 13 Ogos - Khabar angin tentang kemungkinan berlakunya bantahan terhadap persembahan Faizal Tahir yang tersebar luas sejak pagi tadi turut memberi kesan kepada peniga-peniaga di sekitar kawasan tapak Pesta Konvokesyen UPSI.

Para peniaga yang turut mendengar tentang khabar angin tersebut telah bertanyakan tentang berita itu kepada mahasiswa yang berkunjung ke gerai-gerai mereka malah Sekretariat Gerai dan Jualan Pesta Konvokesyen tidak terlepas dari dihujani oleh pertanyaan dari para peniaga ini.

Salah seorang ahli Sekretariat Gerai dan Jualan yang tidak mahu dikenali berkata para peniaga melahirkan kebimbangan jika terjadinya bantahan kerana hasil jualan mereka akan merosot kerana para pelanggan tidak akan membeli-belah jika mereka melihat suasana tegang di sekitar kawasan tapak pesta.

”Ada peniaga yang tidak mahu lagi datang berniaga di UPSI jika terjadi bantahan seperti yang dirancangkan dan ini akan memberi kesan buruk penganjuran konvokesyen dan nama universiti secara amnya,“jelasnya.

Seorang peniaga kain yang hanya memberikan nama sebagai Kak Hasmah berkata tindakan mengadakan bantahan adalah tidak bijak kerana dengan suasana yang boleh dianggap sebagai tidak selamat, beliau sudah pasti akan mengalami kerugian.

“Akak sudah mengeluarkan modal yang banyak untuk berniaga di UPSI dan jika tindakan ini terjadi , akak akan berfikir banyak kali untuk menyertai pesta konvokesyen UPSI lagi,“ tegas beliau lagi.

Seorang lagi peniaga yang ditemui melahirkan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada pihak pembantah kerana tidak melaksanakan hasrat mereka itu kerana dengan kehadiran pengunjung yang ramai pada malam ini membolehkan mereka membuat jualan yang banyak dan meraih keuntungan yang lumayan.

“Fikirlah dulu sebelum melakukan sesuatu kerana diri sendiri yang akan menanggung kesudahannya dan sebagai bakal guru , tunjukkanlah contoh yang baik kepada masyarakat di sekeliling,“ ujar beliau lagi.Untuk rekod , bantahan ini didalangi oleh lapan orang Exco Majlis Perwakilan Pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Pro-Kebajikan.

No comments: