Thursday, July 30, 2009

H1N1: Tg Malim lengang

Tg Malim , 30 Julai , 2.30 pagi - Makluman tentang penutupan kampus utama dan kolej sehingga 08 Ogos ini disambut baik oleh mahasiswa UPSI yang kelihatan seperti tidak sabar untuk meninggalkan kolej kediaman masing-masing.

Sebaik sahaja pengumuman dibuat jam 3 petang semalam , mahasiswa di ihat berpusu-pusu menuju ke arah pintu keluar dan terus ke kaunter tiket bas yang berada berdekatan dengan kolej kediaman masing-masing. Beberapa orang mahasiswa pula bijak mengambil kesempatan untuk menjual tiket bas tambahan bagi destinasi yang mendapat permintaan yang tinggi seperti Kelantan dan Terengganu .

Bagi mahasiswa yang menuju ke destinasi yang lain, mereka dilihat menuju ke arah stesen bas di Pekan Tg Malim dan Stesen Keretapi Tg Malim sambil membawa terus beg masing-masing . Wartawan Suaraupsi yang meninjau keadaan di Stesen Keretapi dan Stesen Bas mendapati tiket-tiket untuk ke destinasi di utara dan ibu kota telah habis di jual seawal jam 6 petang lagi.

Di Khar, kaunter tiket SKS yang berada di Bahtera Arked di serbu ratusan mahasiswa yang dilihat sanggup beratur panjang semata-mata untuk mendapatkan tiket bagi meninggalkan kolej kediaman secepat mungkin. Tinjauan yang dilakukan pada jam 11 malam semalam mendapati masih ramai lagi mahasiswa yang sedang menunggu bas di hadapan kaunter tiket tersebut.

Sementara itu, puluhan buah bas persiaran yang disewa khas khusus untuk mahasiswa Kelantan dan Terengganu dilihat memasuki kawasan Taman Bahtera seawal jam 8 malam untuk membawa mahasiswa pulang ke kampung halaman masing-masing dan bas terakhir di lihat meninggalkan kawasan itu pada jam 2.15 pagi .

Wartawan Suaraupsi disemua kolej kediaman juga melaporkan suasana sunyi sepi menyelubungi kolej kediaman UPSI dan di jangkakan kolej kediaman UPSI akan bertambah sunyi pada hari ini kerana masih ramai lagi yang akan meninggalkan kolej kediaman seawal jam 8 pagi ini. Suaraupsi menganggarkan kira-kira 80 peratus dari keseluruhan mahasiswa UPSI telah meninggalkan kolej kediaman masing-masing.

No comments: