Friday, July 31, 2009

H1N1 : Semua pelajar UPSI selamat

Tg Malim , 31 Julai - Khabar angin tentang kematian pelajar UPSI akibat virus H1N1 didapati tidak benar sama sekali dan hanya sekadar khabar angin sahaja.
Wartawan Suaraupsi yang banyak menerima SMS dan e-mail bertanyakan kesahihan cerita ini membuat siasatan dengan menghubungi orang yang berada di barisan hadapan dalam isu H1N1 di UPSI dan beliau menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat pelajar UPSI yang meninggal dunia akibat virus ini dan semuanya masih lagi selamat.
Menurut beliau, kesemua pelajar yang disahkan positif H1N1 telah dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing dengan menaiki kenderaan ibu bapa masing-masing atas sebab mereka tidak dibenarkan menggunakan pengankutan awam, dikhuatiri akan menyebarkan virus itu kepada orang lain.
Setiausaha Agung MPP UPSI , Saudara Razik b. Khalid turut terkena tempias khabar angin ini apabila peti simpanan SMS telefonnya di penuhi dengan SMS yang bertanyakan akan kebenaran cerita ini .
"Saya menjawab tidak kurang dari 50 panggilan telefon yang bertanyakan tentang khabar angin ini. Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam isu dan hal ehwal pelajar UPSI , saya mendapatkan pengesahan dari Pusat Kesihatan UPSI dan memberitahu perkara yang sebenar kepada mahasiswa UPSI," katanya kepada Suaraupsi.
"Mereka yang menyebarkan khabar angin tentang kematian pelajar UPSI akibat jangkitan virus H1N1 adalah golongan yang berniat jahat kepada Universiti dan tidak mempunyai rasa cintakan Universiti langsung. Mereka hanya mahu menimbulkan suasana tegang dan ketakutan dikalangan pelajar UPSI dan masyarakat di sekitarnya, ujar beliau lagi.
Beliau menasihatkan mahasiswa UPSI agar tidak mempercayai akan berita yang tidak diketahui kesahihannya dan menggesa mereka untuk mendapatkan berita dari sumber yang boleh dipercayai seperti Portal Rasmi UPSI ataupun dari akhbar-akhbar nasional negara supaya mereka tidak akan terpedaya dengan agenda dan dakyah sempit pihak-pihak tertentu.

No comments: