Monday, February 21, 2011

PRK: Perang Poster Suram , Rapat Umum Hangat

Tg Malim , 21 Febuari 2011 - Semenjak dibenarkan menggantung poster pada petang hari penamaan calon iaitu pada 17 Februari yang lepas , perang poster yang biasanya hangat di kawasan kampus dan kolej-kolej kediaman nampaknya suram.

Tinjauan SuaraUPSI selama 5 hari  berturut-turut ke kawasan kampus dan kolej mendapati hanya kawasan sekitar Pintu Timur yang memperlihatkan lebih banyak poster berbanding tempat-tempat lain di kawasan kampus. Kawasan-kawasan seperti depan Kompleks Dewan Kuliah dan Perpustakaan dan Dewan SITC hanya dihiasi dengan sedikit sahaja poster calon-calon yang bertanding.

Sementara itu , di kawasan Taman Bahtera di mana terletaknya Kolej Ungku Omar dan Kolej Harun Aminurrashid , hanya kelihatan sesetengah poster di tepi jalan masuk menghala ke kolej-kolej ini dan bagi kawasan kampus pula poster-poster calon lebih banyak digantung di pintu masuk dan keluar kolej.

Berdasarkan rakaman dan gambar-gambar yang diambil pada PRK tahun lepas , perang poster pada tahun ini didapati suram dan tidak hangat seperti kebiasaannya. Ditambah pula dengan larangan menggantung banner oleh SPMPP , pihak-pihak yang bertanding didapati lebih memfokuskan kepada pengedaran flyers yang memaparkan gambar-gambar calon beserta takwim akademik UPSI.

Sementara itu , rapat umum yang diadakan di kolej-kolej kediaman pada waktu malam bermula jam 09.00 - 12-00 tengahmalam penuh dengan suasana hangat apabila penyokong-penyokong pihak-pihak yang bertanding turun untuk memberikan sokongan masing-masing kepada calon-calon pilihan mereka dengan membawa banners,placard,lilit kepala,belon dan sebagainya.

Suasana rapat umum paling meriah , hangat dan penuh dengan provokasi dapat dilihat pada malam semalam di Kolej Harun Aminurrashid apabila kesemua pihak-pihak yang bertanding mengambil kesempatan untuk berkempen secara habis-habisan sebelum hari mengundi.

Tiada insiden tidak diingini dilaporkan berlaku. Pihak SuaraUPSI berharap agar pilihanraya kampus tahun ini berlangsung dalam suasana aman damai tanpa sebarang gangguan.

No comments: