Wednesday, March 17, 2010

Istiadat Konvokesyen berakhir petang ini

Tg Malim - Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ke 12 sidang 1 bakal melabuhkan tirainya apabila upacara penganugerahan ijazah kepada mahasiswa dan mahasiswa yang berjaya menamatkan pengajian mereka dijangka tamat sekitar jam 04.30 petang ini.

Pada istiadat kali ini, seramai 1577 Anak Kandung Suluh Budiman menerima ijazah mereka yang bermula semalam dan disempurnakan oleh Canselor UPSI, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja Permasuri Perak ,Tuanku Bainun.

Istiadat pada petang ini pula disempurnakan oleh Pro-Canselor UPSI, Yang Berbahagia Dato' Seri Dr Abdul Shukor b. Abdullah.

Baginda Permaisuri juga berkenan mencemar duli menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam kepada Sahibus Samahah Mufti Perak Darul Ridzuan , Yang Amat Berbahagia Tan Sri Dato' Seri (Dr) Hj Harussani b. H Zakaria.

Sementara itu , Pesta Konvokesyen yang dijangka berakhir pada malam ini dengan acara utama bakal dilangsungkan di Pentas Utama Pesta. Menurut maklumat yang diperolehi dari Sekretariat Pesta Konvokesyen , Malam Puisi Riong : Gema Suara Kemanusiaan dengan kerjasama Fakulti Bahasa UPSI, Berita Harian dan Koperasi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat ( KGMMB) bakal bermula pada jam 08.00 malam.

Antara penyair yang bakal hadir pada malam ini adalah Chai Loon Guan, Md Yusuf Ali ataupun Ria Asmira , Abdul Ghafar Ibrahim ataupun Agi , Noor Arjuma Samsudin, Prof Rahman Shaari dan tetamu dari UPSI sendiri seperti Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu , Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin , Prof Bukhari Lubis , Dr Ani Omar dan Halim Ali.

Artis undangan pada malam ini adalah Sabri Yunus dan Ramli Sarip. Pihak Sekretariat Pesta Konvokesyen memohon kerjasama seluruh mahasiswa UPSI untuk sama-sama menghebahkan tentang acara pada malam ini dan menjemput mereka untuk memeriahkan acara yang gilang - gemilang ini .

2 comments:

*ciK nAzYfAh* said...

pEsta kONVO is fun...(^_^)

Anonymous said...

bro....istiadat konvo sesi kedua pon dah nak mula...bila mau updated blog...x sabar nak baca psot terkini...