Tuesday, August 11, 2009

Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen meriah

Tg Malim , 10 Ogos - Majlis perasmian Pesta konvokesyen UPSI ke 11 sidang dua selamat dirasmikan oleh Y. Bhg. Naib Canselor UPSI, Prof. Dato ' Aminah bt Ayob tepat jam 9 malam tadi.

Majlis yang diadakan di Padang Utama UPSI turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan UPSI. Antara tetamu-tetamu kehormat yang kelihatan adalah Pendaftar UPSI, Dato' Rosley b. Taib dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Alumni (TNC HEP&A) Prof. Dr. Shaharuddin b. Abd Aziz.

Penyanyi yang dijemput khas untuk membuat persembahan pada malam tadi adalah Jaclyn Victor yang naik ke pentas tepat jam 9.35 tadi. Beliau yang menyanyikan empat buah lagu mengakhiri persembahan pada jam 9.50 malam. Beliau juga sempat memohon pengunjung yang dianggarkan sekitar dua ribu orang untuk sama -sama menderma kepada Tabung Pembinaan Sekolah di Kemboja yang diusahakan oleh Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar yang terdiri dari Pro-Kualiti. Serentak dengan itu, petugas - petugas yang membawa peti derma mula berlegar-legar di sekitar orang ramai yang hadir dan sambutan yang diterima amatlah menggalakkan.

Keadaan menjadi semakin meriah selepas Jaclyn Victor selesai menyanyikan lagu ketiga di mana para pengunjung menghampiri pentas utama dan tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menyanyikan lagu dengan beliau. Jaclyn Victor juga turut diserbu oleh para peminatnya semasa turun dari Pentas Utama dan keadaan ini memaksa petugas Konvokesyen dan pihak Keselamatan UPSI bertungkus lumus untuk mengawal keadaan ini sebelum keadaan dilaporkan tenang setelah beliau dibawa masuk ke dalam Bangunan Canselori untuk minum malam bersama-sama pegawai-pegawai kanan universiti.

Sementara itu, usaha golongan-golongan tertentu yang ingin menggagalkan penganjuran konsert pada malam tadi tidak berjaya malah tindakan yang dilakukan dilihat seolah - olah seperti meludah ke langit dan terkena pada diri sendiri.

Usaha yang bermula dengan penganjuran solat Maghrib dan solat hajat di Surau An-Nur diteruskan dengan berkumpul beramai-ramai di hadapan pentas utama dan meninggalkannnya sebaik sahaja pengacara majlis menjemput penyanyi terkenal itu naik ke pentas utama tetapi tindakan itu tidak disedari oleh pengunjung yang hadir malah ruangan kosong yang ditinggalkan oleh golongan penentang itu segera dipenuhi oleh para pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang melihat artis pujaan mereka secara lebih dekat.

Pihak yang menentang dikatakan membatalkan hasrat untuk melakukan provokasi setelah menyedari tindakan yang mereka lakukan adalah sia-sia dan akan memalukan nama universiti. Mereka juga menyedari tindakan mereka tidak mempunyai asas yang kukuh manakala pemantauan ketat yang berterusan dari pihak sekretariat konvokesyen, Keselamatan UPSI dan polis telah membuatkan mereka berundur dari Padang Utama secara tergesa-gesa.

Suasana konsert yang berlangsung dalam keadaan terkawal mendapat pujian dari pegawai- pegawai kanan universiti dan para pengunjung . Rata -rata mereka menyifatkan usaha pihak penganjur melakukan pengasingan antara jantina dan pengumuman untuk menjaga tingkah laku sepanjang konsert berlangsung sebagai bukti pihak penganjur yang mengambil pendekatan yang seimbang sepanjang enam hari Pesta Konvokesyen ini.

No comments: