Tuesday, July 28, 2009

H1N1 : MPP mohon mahasiswa bertenang


Tg Malim, 28 Julai - Setelah disahkan oleh Pusat Kesihatan UPSI bahawa dua pelajar perempuan semester 6 Pendidikan Perakaunan sedang di kuarantin di KHAR kerana disyaki terlibat dengan kes H1N1, Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPP UPSI) mengeluarkan kenyataan memohon agar semua mahasiswa UPSI bertenang dan tidak panik dengan pandemik ini.

Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI , YDP MPP UPSI, Saudara Mohd Hairie b. Abdullah meminta semua mahasiswa supaya bertenang kerana kedua – dua pelajar masih lagi belum di sahkan menghidap H1N1 dan mereka dikuarantinkan sebagai langkah pencegahan awal.

Menurut beliau lagi, mahasiswa juga boleh mengambil langkah pencegahan sendiri seperti memakai topeng penutup muka (face-mask) dan mengelakkan diri daripada berada di tempat awam sekiranya tiada keperluan untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit bawaan udara ini.

“MPP akan mengambil langkah-langkah untuk memberitahu mahasiswa tentang perkembangan kes H1N1 di UPSI melalui Portal Rasmi UPSI, ”flyers” dan juga melalui laman –laman blog”, jelasnya.

Tambah beliau lagi , pihak UPSI dan MPP terutamanya Majlis Tertinggi akan berusaha menjaga kebajikan pelajar yang sedang di kuarantinkan dari segala aspek yang mampu.

"Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjaga kebajikan semua pelajar UPSI seperti yang kami telah lakukan sebelum ini", tegas beliau lagi.

Beliau yakin dan optimis dengan usaha-usaha yang di jalankan oleh pihak-pihak yang terlibat untuk membendung gejala ini dari terus merebak, UPSI tidak perlu mengalami nasib yang sama seperti beberapa pusat pengajian tinggi yang lain di Malaysia.

Untuk rekod, beberapa kampus institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia seperti UiTM Kampus Lendu, Melaka, UiTM Shah Alam, Selangor, UiTM Sri ISkandar, Perak, Politeknik Seberang Prai, Pulau Pinang dan Universiti Utara Malaysia(UUM), Kedah telah diarahkan tutup selama seminggu untuk menghalang penyebaran virus H1N1 dari terus merebak di Malaysia.

No comments: