Wednesday, January 20, 2010

Perutusan Khas Mantan YDP MPP sesi 2008/09 “PEMBUBARAN DAN PERUBAHAN”


Salam Pimpinan Bitara

Bermula pada detik dan ketika ini pada tanggal 20 Januari 2009 (Rabu) secara rasminya barisan kepimpinan MPP UPSI sesi 2008/09 yang diterajui oleh saya sendiri Mohd Hairie Bin Abdullah selaku YDP MPP UPSI telah dibubarkan. Pembubaran kabinet MPP UPSI adalah satu pertanda bahawa Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi pemilihan MPP baru bagi sesi 2009/10 akan bermula dengan rentak dan rancak yang baharu. Semoga pembentukan kabinet MPP yang baru dapat menghasilkan sesuatu momentum yang hebat dalam memacu imej dan reputasi MPP dan universiti ke tahap yang boleh dibanggakan.

Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada yang banyak membantu saya dan barisan kepimpinan bitara MPP UPSI dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada kami sepanjang kami menerajui kepimpinan MPP sesi 2008/09. Sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih saya kirimkan buat bonda UPSI iaitu Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Aminah binti Ayob, Naib Canselor UPSI yang telah memberi kepercayaan yang penuh kepada kami di barisan MPP dalam mengangkat suara mahasiswa ke peringkat pengurusan tertinggi universiti. Tidak dilupakan juga, ayahanda TNC HEPA, Y. Bhg. Prof. Dr. Shaharuddin Bin Abd. Aziz dan pihak pengurusan di HEPA yang diterajui oleh En. Mohd Faizi Bin Othman (TPK HEPA) yang telah banyak memberi sokongan, dorongan, tunjuk ajar serta semangat yang membina semasa kami dirundung masalah mahupun semasa kami berada dalam kegembiraan.

Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga UPSI dari pihak pentadbiran hinggalah kepada mahasiswa UPSI yang telah banyak membantu dalam melancarkan segala urusan pentadbiran di MPP. Tanpa mahasiswa tiada kami di sini. Oleh itu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh mahasiswa UPSI yang sentiasa menyokong kami di barisan MPP khususnya. Dalam kesempatan dan ruang yang ada ini, saya ingin mengingatkan kepada semua MPP yang akan menerajui kepimpinan MPP perlulah meninggalkan segala tindak tanduk yang bersifat “privacy”, masa yang ada perlu korbankan, serta meleburkan kewanagan yang terhad tanpa berkira dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan di bahu masing-masing. Tidak kira sama ada menang secara undian atau menang tanpa bertanding, tugas dan amanah yang dipikul adalah sama. Barisan kepimpinan MPP perlu sedar bahawa di belakang mereka terletak hampir 19, 000 suara mahasiswa UPSI yang perlu didengar dan diambil tindakan. Saya ingin menegaskan kepada kepimpinan MPP yang baru supaya jangan ada yang menanamkan sikap merai populariti apabila menjadi MPP. MPP bukanlah medan populariti tetapi merupakan medan dalam mendengar suara hati mahasiswa untuk diambil tindakan.

Selain itu, saya berharap agar MPP yang akan menerajui kepimpinan MPP bagi sesi 2009/10 agar jangan hanya sekadar pandai menabur janji dalam manifesto PRK kali ini sahaja sehingga jauh sekali untuk berusaha dalam memastikan manifestonya tercapai.

Setiap MPP juga harus sedar bahawa di kampus hanyalah bersifat politik kampus sahaja. Jangan samakan politik kampus dengan politik luar. Tidak dapat dinafikan ada sesetengah pihak menggunakan dalang politik luar dalam mengukuhkan politik kampus mereka semata-mata ingin mendapatkan bantuan kewangan, moral dan sebagainya. Tindakan sesetengah mahasiswa menggunakan politik luar dalam mencampuri urusan politik kampus saya sifatkan seolah-olah diperkudakan oleh orang luar. Tiada satu manusia pun di alam ini yang menaburkan bantuan tanpa meminta balasan. Dalam berpolitik kampus, kita janganlah terlalu taksub dalam berpolitik sehingga mengabaikan pelajaran. Pelajaran merupakan periuk nasi yang terpenting dalam meniti liku-liku hari-hari mendatang yang kian mencabar yang memerlukan tuntutan pelajaran yang hebat.

Dalam mengimbas kembali kejayaan yang dilakukan oleh barisan MPP saya iaitu sepanjang sesi 2008/09, kami berjaya dalam memastikan perkembangan pembinaan kampus baru rancak kembali setelah suram hampir 5 tahun. Kami telah mengambil tindakan membuat kenyataan akhbar KOSMO bertarikh 15 Mei 2009. Kesan daripada tindakan kami di barisan MPP ini telah mendapat perhatian daripada Y.B Datuk Seri Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia yang berjanji bahawa pihaknya tidak mahu berkompromi dengan sebarang kelewatan memandangkan jika itu yang berlaku, kesulitan kakitangan serta para pelajar UPSI yang terpaksa belajar di rumah-rumah kedai di luar kampus akan berterusan.

Selain itu, barisan kepimpinan MPP sesi 2008/09 telah berjaya menaikkan imej dan reputasi MPP serta universiti tercinta di mata Negara mahupun diperingkat antarabangsa. Di peringkat Negara, saya sendiri pernah diberi penghormatan yang tinggi daripada pihak kementerian dan MAKLUM sebagai ahli panel Forum Bicara Akademik semasa Konvensyen MPP kebangsaan yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor. Selain itu, barisan MPP kami sesi 2008/09 sering diundang dalam beberapa siaran televisyen tempatan seperti dalam Suara Siswa dan Nasi Lemak Kopi O bertujuan mempromosi nama MPP dan UPSI. Kerancakan MPP kami dalam mencorakkan kepimpinan MPP bertambah unggul apabila ada antara kami aktif dalam mengirimkan mahupun memberi komen-komen terbuka dalam akhbar-akhbar tempatan. Di peringkat antarabangsa pula, kami berjaya menaikkan nama MPP dan UPSI dengan mengadakan khidmat masyarakat antarabangsa di Kemboja. Keberjayaan kami di Kemboja telah mendapat tempat dalam majalah BITARA keluaran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang merupakan satu-satunya MPP yang diketengahkan dalam majalahnya baru-baru ini. Bagi kami inilah penghormatan KPT kepada MPP UPSI yang menilai hasil beban kerja kami.

Di samping itu, MPP sesi 2008/09 juga telah bertindak menghubungi dan berjumpa terus pihak KPM dalam menyelesaikan masalah penempatan lepasan graduan pendidikan keluaran UPSI. Kesannya kami telah mengundang Puan Faridatul Akmar dari bahagian Sumber Manusia KPM untuk memberi taklimat berkaitan kekosongan penjawatan yang telah diadakan pada 30 Oktober 2009 yang lalu. Berdasarkan imbauan lepas berkaitan kejayaan MPP sesi 2008/09, saya berharap agar MPP sesi 2009/10 yang akan menerajuinya agar meneruskan kegemilangan MPP UPSI di mata Negara dan antarabangsa. Sebagai MPP yang berkualiti, kita seharusnya melakukan perubahan mahupun responsif dengan isu-isu semasa dengan daya usaha kita sendiri dan bukan menggunakan hasil usaha orang lain dalam mencipta nama. Ini tidak ubah seperti “lembu punya susu sapi dapat nama”.

Pada kesempatan ruang dan peluang yang terakhir bagi saya ini, saya ingin mengingatkan kemabali kepada calon-calon yang akan bertanding dalam PRK kali ini agar tidak sesekali melakukan sesuatu dalam tugasan untuk kepentingan peribadi. MPP harus mengutamakan pelanggan iaitu mahasiswa UPSI berbanding diri sendiri. Mulakanlah belajar mengorbankan diri demi memastikan orang lain hidup selesa. Saya mendoakan agar MPP sesi 2009/10 kali ini dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai MPP sebaik mungkin.

Kalau nak mandi pertama di teluk,

kedua di pantai;

Kalau nak cari pemimpin pertama biarlah elok,

kedua mestilah pandai.

Akhir kalam, saya memohon kepada semua mahasiswa UPSI agar menjaga nama baik universiti serta ada sifat sayang akan universiti kita. Jangan cemarkan nama baik UPSI di dalam blog-blog fitnah, mahupun apa sahaja media kerana ini akan menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada profesion perguruan. Hal ini menjadi kebimbangan pada saya kerana tindakan seumpama ini akan menyebabkan masyarakat memandang serong kepada guru kian meluap. Oleh itu, marilah kita bersama-sama membersihkan nama baik universiti dengan menanamkan di dalam hati untuk tidak terlibat dengan kegiatan yang mencemarkan nama baik UPSI tercinta. Kalau bukan kita yang mempertahankan nama baik UPSI siapa lagi ??? kalau bukan sekarang kita lakukan perubahan bila lagi ???...fikir-fikirkanlah.

“SAYANGI UNIVERSITI KITA”


2 comments:

naga sakti said...

kalau jadi pemimpin biarlah dapat "UNDI"..

sayangupsi said...

yeah=)