Thursday, January 7, 2010

Bersama YDP MPP Pimpinan Bitara UPSI



Salam Pimpinan Bitara. Saya terpanggil untuk mencoret rasa hati dan akal yang tak seberapa ini dalam ruangan ini dalam mengulas kenyataan YB Dr. Fuad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia dalam Utusan Malaysia, 31 Disember 2009 berkaitan “bukan semua lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan boleh jadi guru-Tertakluk kekosongan jawatan”. Saya selaku suara seluruh mahasiswa UPSI berasa ini adalah suatu yang mengejutkan. Hal ini demikian kerana apabila mula melangkah ke alam UPSI apa yang tersemai dan tertanam adalah untuk menjadi seorang guru.

Langkah ini kami gagahi dengan berusaha bertungkus lumus untuk menanamkan rasa profesion keguruan dalam diri kami di samping diterapkan ilmu pendidikan seperi pedagogi, psikologi, sosiologi pendidikan dan sebagainya dalam melengkapkan diri untuk menjadi guru apabila tamat bergraduan kelak. Ilmu pendidikan yang dipelajari di universiti selama 4 tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek berbanding pengajian lain yang hanya 3 tahun sahaja untuk mendapakan segulung ijazah.

Bagi saya nama UPSI yang merupakan satu-satunya universiti bertaraf pendidikan akan terlupus dek kerana kepercayaan orang ramai terhadap universiti ini dalam melahirkan bakal guru ternyata meleset sekali. Ambilan Julai 2006-2009 adalah unjuran yang diminta oleh KPM untuk mengisi kekosongan pada 4 tahun yang akan datang iaitu selepas mahasiswa/i bergraduan. Walau bagaimanapun, pada ambilan Disember 2009 yang lalu, pelajar baru yang diambila adalah pelajar untuk “open market”. Di sini menimbulkan satu persoalan dibenak fikiran saya, unjuran yang diminta oleh KPM tetapi tak dapat ditempatkan graduan tersebut selepas tamat belajar?.

Walau apa pun yang berlaku, saya tampil dengan beberapa cadangan agar perkara ini tidak berulang kembali. Cadangan saya yang pertama, pembinaan sekolah-sekolah perlu dipergiatkan agar lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mendapat tempat dalam dunia pendidikan. Selain itu, cadangan saya yang seterusnya iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) seharusnya berbincang secara meja bulat dala m menyelesaikan isu ini. Dengan ini pihak KPM, bolehlah mengusulkan kriteria guru dan opsyen yang diperlukan mengikut unjuran agar KPT dapat menyediakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan selaras dengan permintaan KPM.

Saya juga berharap agar permasalahan ini dapat diselesaikan tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak. “Orang yang bijak akan berusaha memperbaiki kelemahan diri tetapi orang yang bodoh akan berusaha mencari keburukan orang lain”. Semoga masalah ini bertemu jalan penyelesaiannya.

8 comments:

Anonymous said...

salam. saya ingin tahu, apakah kesudahan masalah penempatan ini?

kami bagaikan digantung tak bertali. ingin memohon pekerjaan lain, tetapi hati ini memberontak mahukan kerjaya pendidikan sebagai karier.

kami ingin tahu, apa keputusannya. adakah kami harus menunggu, dan jika ya, berapa lamakah lagi?

AFITI said...

assalamualaikum.

saya turut tertanya-tanya. dipergiatkan pembinaan sekolah?jika keadaan tgh ekonomi meleset mcm mn nk truskan pmbinaan sekolah tu..lainlah jika awal-awal peruntukan tlh ada..

cuma pnmbhn cdgn, mungkin untuk mgelakkan andai benar-benar berlaku mslh penempatan, cuba kurangkan utk kpli dan dpli.sebenarnya kelayakan mreka y sedia ada itu sudah mmpu untuk mereka tmpatkan diri di sektor pekerjaan dan tidak perlulah untuk terjah dalam bidang pddikan pula yang mana blh mnjadi lambakan pula kepada y berhempas pulas selama 4 tahun ini. Bagi saya tiada masalah pun jika dinyatakan mahasiswa pddikan perlu bersaing juga di pasaran kerja, namun persoalannya adakah bnr-benar berlaku keterhadan utk pljar kos pddikan ipta y lain sdgkan setiap ngeri mmerlukan ramai guru-guru..tidak ada manusia yang belajar dan tidak mahu bekerja dan tidak ada semata-mata manusia y belajar dan tidak mahu bekerja : itu y sy peroleh oleh guru subjek kerjaya saya.

Anonymous said...

apa punya cadangan lah, itu bukan selesaikan masalah, itu lari dari masalah.

Anonymous said...

dengar nya ydp mpp upsi dah naik kpm utk bincangkan perkara ini pada hr khamis...tp pelik sampai skang x dngr citer pasal ni...apa kes?mmng betul ke kenyataan dr fuad?atau mpp upsi nk sembunyi kn sesuatu dr kami..sbb tu sampai skang x publish lg..kalo betul pimpinan bitara..terus-terang lah hasil perbancangan..x kesah lah hasil nya negatif..tp sekurang2 nya korang berusaha..Kami akan sentiasa menanti jawapan dari ANDA

Anonymous said...

4 tahun blaja ni yang kita dapat?????
mampus la jawabnya...

. said...

Salam sejahtera.

Sebagai seorang Graduan Pendidikan saya terpanggil untuk berkongsi cerita berkaitan isu penempatan guru yang hangat di war-warkan di media massa mahupun cetak kini.
Beberapa lontaran realiti dan pendapat saya berikan:

1. Isu lambakan graduan pendidikan sering kali digembar-gemburkan. Melihat pada realiti semasa jika kita berada di sekolah, jumlah Guru Sandaran Siswazah Tidak Terlatih (GSTT) terlalu banyak. Contohnya semasa saya menjalani praktikum di Kuala Lumpur, terdapat sebuah sekolah mempunyai lebih 15 orang GSTT. Harus kita sedari GSTT merupakan graduan yang bukan memiliki sebarang ikhtisas di dalam bidang pendidikan. Ini bermakna mereka tidak mempunyai sebarang kemahiran dan kaedah pengajaran (Pedagogi) khusus. Justeru, mengapa mereka di beri tempat sedangkan graduan IPT yang memiliki ikhtisas khas dalam bidang perguruan masih ternanti-nanti penempatan mereka. Apa yang saya musykil, mereka hanya diberikan kontrak selama setahuan, namun baru-baru ini (Jan 2010) kontak mereka masih diteruskan (sehingga Disember).
2. Unjuran pengambilan graduan Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang terlalu ramai. Saya merupakan Graduan bagi subjek Pendidikan Moral UPSI (graduan sulung). Program Pendidikan Moral di UPSI mempunyai lebih 600 orang mahasiswa (tahun pertama sehingga tahun keempat). Tahun depan hampir 100 orang mahasiswa akan tamat pengajian di dalam bidang ini. Persoalannya pada pengambilan bulan Julai tahun lalu seramai 500 orang DPLI program Pendidikan Moral diambil oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Situasi ini mengakibatkan wujudnya persaingan bagi ‘junior’ saya kelak, sedangkan jumlah penempatan yang diunjurkan sangat sedikit sementelah KPM memaklumkan hanya subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris di utamakan. Justeru, pengambilan DPLI juga haruslah di unjurkan pada kadar yang relevan dan munasabah. Bukan takutkan persaingan, namun seandainya kita telah memiliki graduan khusus yang memiliki pedagogi hampir 4 tahun dalam jurusan pendidikan mengapa mereka yang hanya beberapa bulan ini di beri keutamaan (merujuk pengambilan 500 orang DPLI). Buat pengetahun semua DPLI adalah tajaan biasiswa KPM, maka sudah tentu penempatan mereka diberikan keutamaan. Maka atas situasi inilah persaingan sengit itu menjadi satu ‘laba’ kepada jumlah ‘lambakan’.

Sedari dari dua isu yang saya berikan, KPM seharusnya mengkaji satu kaedah terbaik berkenaan ‘unjuran dan penempatan’. Saya menyokong namun agak meragukan apabila jawapan menteri berkenaan berbunyi begini – “semua graduan harus bersaing untuk mendapat tempat dalam bidang perguruan”. Ini bermakna graduan IPT dalam bidang pendidikan yang sememangnya ‘hanya’ memiliki segulung ijazah khusus dalam jurusan pendidikan harus bersaing dengan anak-anak susuan yang terlalu ramai seperti DPLI dan GSTT yang sememangnya diberikan prioriti utama untuk ditempatkan. Bukan niat mahu mengagungkan graduan pendidikan ataupun menidakkan potensi DPLI mahupun GSTT, namun saya rasa terpanggil untuk meluahkan rasa hati kami – Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPT yang telah memiliki ilmu pedagogi selama empat tahun. Sudahlah gigih belajar, kini terpaksa pula menempuh persaingan dengan mereka yang hanya memiliki ikhtisas selama kurang dari setahun (DPLI) mahupun dengan mereka yang diambil secara kontrak di sekolah (GSTT). Maka timbang taranya mudah kurangkan pengambilan DPLI dan GSTT (bukan menghapuskan) bagi memberi laluan buat graduan IPT yang memiliki ikhtisas dalam bidang pendidikan.

Sekian, terima kasih.

Hairul Faiezi Lokman
Graduan Mahasiswa Pendidikan Moral
UPSI 2005-2009.

Anonymous said...

hak... hak.. hak apa? hak hogan.. salah kat sana.. salah kat sini.. yg tak posting ni semua bagus2 belaka ker? aktif ke? pointer camner?

kalau betul2 bagus baru la fight saudara.. macam saudara faeizi ni, semua ada.. aktif lagi.. takde masalah nak fight kalau tak posting.. kalau yg cukup2 makan tu camner? kena posting gak ker?

cuma jelaskan sikit

Anonymous said...

Belajar tinggi-tinggi, berijazah tapi umpama pengemis jalanan yang mengharapkan belas ehsan orang lain.
Apakah kita ini pengemis? Berijazah tapi hakikatnya bodoh tidak mampu berfikir secara rasional? Atau memang kita hanya nampak dengan Ijazah Pendidikan ini kita hanya mampu jadi guru?

Saya tertarik dengan bait-bait ayat saudara," Orang yang bijak akan berusaha memperbaiki kelemahan sendiri tetapi orang yang bodoh akan berusaha mencari keburukan orang lain." Apakah kita mahasiswa UPSI berada dikalangan orang yang bodoh itu? Sila baca balik apa yang saudara tulis. Ianya jelas menunjukkan kita ini dikalangan orang yang bodoh itu. Mengemis pekerjaan atas dasar kita pemegang Ijazah Pendidikan.

Samada saudara sedar atau tidak, graduan lepasan UPSI ini tidak mampu bersaing dipasaran terbuka. Tahukah saudara, ada dikalangan pensyarah UPSI sendiri mengakui bahawa subjek yang kita belajar ini sudah tidak up to date. Tahukah saudara ada kursus-kursus di UPSI ini tidak melayakkan graduannya untuk mendapat sijil profesional kerana tidak memenuhi kehendak profesi tersebut. Kita hanya belajar apa yang akan diajar disekolah-sekolah. Apabila KPM/KPTM minta kita bersaing dipasaran terbuka, apakah kita mampu bersaing? Apakah pihak-pihak swasta sudi mengambil kita bekerja dengan apa yang kita pelajari sekarang ini. Sebenarnya inilah masalah kita. Universiti pada nama sahaja tetapi levelnya sama dengan IPG malahan IPG lebih jitu dari segi penyediaan pelajarnya.

Jika saudara merasakan apa yang saya perkatakan ini tidak relevan. Cubalah saudara luangkan sedikit masa untuk membuat kajian dan perbandingan subjek-subjek yang dipelajari di Universiti lain untuk Ijazah Pendidikan. Cubalah bertanya kepada mahasiswa yang mengambil kursus kaunseling. Apakah dengan ijazah UPSI ini mereka layak mengambil peperiksaan profesional untuk menjadi kaunselor bertauliah atau hanya layak menjadi guru kaunselor disekolah-sekolah sahaja?

Kenapa saya berkata begini kerana saya tahu mahu tidak mahu saya terpaksa menyambung membuat MASTER di Universiti lain, jika tidak saya sampai bila pun tidak akan layak menjadi kaunselor bertauliah.

Diharapkan mendapat perhatian sewajarnya dari pihak saudara.